Tuesday, March 25, 2008

KESAN MELETAKKAN HARTA SEBAGAI SYARAT UTAMA

Pemilihan jodoh dengan meletakkan material sebagai nombor wahid dan agama sebagai angka yang terakhir akan mengakibatkan beberapa perkara yang tragis, iaitu:

1- Menyebarluaskan lagi penyembahan material di kalangan masyarakat Islam kerana material telah dianggap sebagai lambang kebahagiaan walaupun hanya palsu semata-mata. Manakala agama pula dianggap ketinggalan zaman. Bahkan lebih dahsyat dari itu, agama dianggap sebagai puaka yang amat menakutkan dan menyeramkan. Akal fikiran mereka sentiasa dihantui dengan anggapan bahawa apabila menjadi isteri kepada lelaki yang kuat agamanya, nescaya dirinya akan terkongkong dalam lingkungan yang amat sempit sekali. Tidak boleh berhias, bergaya, bekerja dan bergiat dalam segenap lapangan. Tugasnya hanya di dapur, melahirkan dan mendidik anak-anak. Sebenarnya ini hanyalah momokan yang mereka cipta sendiri.....

Dari pengaduan-pengaduan yang didengar dan melalui pengamatan terhadap masyarakat sekeliling, didapati bukan sedikit dari kalangan wanita-wanita Islam yang menganggap bahawa mendidik dan memelihara anak adalah satu bebanan. Mereka lebih rela bekerja seberat mana sekalipun dari menjaga dan mendidik anak-anak. Perasaan kasih sayang sepenuh hati dan sifat keibuan telah ditarik oleh Allah s.w.t. dari sebahagian wanita-wanita Islam. Lihat saja! Bagaimana kes membuang anak begitu berleluasa terjadi di negara kita ini.

2- Akan menjejaskan institusi kekeluargaan sesebuah masyarakat. Penceraian mula meningkat dari hari ke hari. Di samping itu terlalu banyak rumahtangga yang sedang menanti giliran untuk runtuh.

Akibat membelakangkan akhlak ketika memilih calon, maka si isteri atau si suami menanggung derita perpanjangan. Mutakhir ini, bukan hanya suami dari kalangan orang-orang awam bahkan tokoh masyarakat, ahli politik dan pak menteri telah terjebak dengan beberapa kegiatan yang kurang sihat. Judi, rasuah, perzinaan dan sebagainya. Mengadakan hubungan dengan pelacur sudah menjadi suatu yang lumrah bagi suami-suami yang tidak beragama. Yang berpendapatan rendah akan pergi kepada pelacur-pelacur kelas bawahan. Manakala yang bergaji lumayan dan punya kedudukan yang tinggi akan menyimpan sekurang-kurangnya seorang wanita.

Si isteri pula, lebih terdedah kepada perangkap lelaki-lelaki hidung belang. Samada di majlis-majlis sosial atau di tempat kerja. Isteri orang-orang awam yang terperangkap akan dipujuk rayu di mana kesudahannya berlakulah perzinaan yang dilaknat Allah s.w.t.

Manakala isteri orang-orang berada atau ternama akan menyimpan lelaki tersebut dengan diberi habuan berupa wang atau kemudahan yang bukan sedikit nilai ringgitnya.

Antara alasan-alasan yang sering diberikan oleh isteri-isteri ini ialah mereka sering ditinggalkan oleh suami kerana urusan perniagaan, mereka tidak mendapat kepuasan seks bersama suami atau sebagainya. Namun bagi saya semuanya itu adalah alasan yang terlalu rapuh dan tidak boleh dipakai samasekali. Pada hakikatnya, kerana mereka ini telah membelakangkan agama. Seandainya orang yang beragama mengalami masalah yang sama sudah pasti mereka tidak memilih jalan dosa dan noda ini.

Sebagai contoh ialah sebuah kisah, pernah terjadi peristiwa di mana si isteri tidak mendapat kepuasan seks dari suaminya. Ramai teman-teman yang menasihati si suami agar berusaha mengatasi masalah ini samada bertemu doktor, berurut secara tradisional atau sebagainya. Namun si suami berdegil tidak mahu menurut nasihat teman-temannya. Jiwa si isteri pula terus memberontak inginkan kepuasan seks.

Apabila dilihat tidak ada perubahan, si isteri mula memilih caranya sendiri untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapinya. Dia mula mencari lelaki lain agar dapat mengisi kekosongan jiwanya. Akhirnya beberapa orang lelaki telah menidurinya termasuklah seorang rakan karib suaminya sendiri.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga, begitulah dengan nasib si isteri di mana akhirnya perbuatannya itu diketahui oleh si suami. Malu bukan kepalang kerana rupanya perkara itu sudah lama menjadi buah mulut masyarakat keliling. Maka dia menceraikan isterinya. Mereka berpisah....

Apa yang dapat kita lihat pada masalah di atas, pengkhianatan terhadap suami dengan melakukan zina bersama lelaki lain adalah disebabkan oleh kurangnya agama isteri lelaki itu. Dia menyelesaikan masalah tidak mendapat kepuasan seks dengan cara yang benar-benar keji dan menjijikkan.

Sebaliknya, seandainya isteri lelaki itu merupakan seorang yang beriman dan kuat agamanya sudah tentu dia akan menyelesaikannya dengan jalan yang baik dan diredhai oleh Allah s.w.t. Berkemungkinan jika peringkat pertama, kedua dan ketiga tidak mampu mengatasi masalah ini, mereka akan bertemu kadhi untuk minta penyelesaian. Jika jalan buntu yang ditemui juga sudah tentu talak adalah cara yang terbaik.

Cuba kita perhatikan sekali lagi, natijah dari dua jalan penyelesaian yang berbeza terhadap masalah di atas adalah sama sahaja, iaitu berakhir dengan perceraian. Jika dia menyelesaikan masalah itu dengan cara mengadakan hubungan seks haram bersama lelaki lain, kemudian diketahui oleh suaminya maka dia akan diceraikan. Dan begitu juga jika dia menyelesaikannya dengan jalan yang ditunjukki oleh syariat, akhirnya dia diceraikan juga. Jika begitu mengapa memilih jalan yang kotor dan menjijikkan? Bukankah lebih baik jika dia menyelesaikannya dengan cara yang kedua? Kerana kehormatan diri dan keluarganya akan terpelihara.

3- Melahirkan keturunan yang rosak moral dan kurang agamanya. Kerana ibubapa yang baik akan mendidik anaknya ke arah kebaikan. Sebaliknya, ibubapa yang kurang agama akan mendidik anaknya ke arah yang tidak dikehendaki oleh Islam, walaupun menurut kacamatanya ia adalah kebaikan. Bahkan berkemungkinan anak tersebut akan dua kali ganda lebih buruk agamanya dari ibubapanya sendiri.

Sejak kebelakangan ini, gejala keruntuhan moral telah menjadi satu topik yang sangat hangat diperkatakan, dari golongan bawahan hinggalah ke peringkat ulamak dan tokoh politik. Semakin banyak mereka memperkatakan tentang keruntuhan moral seolah-olah ia semakin menjadi-jadi dan bertambah buruk. Tidak membawa perubahan langsung.

Penagihan dadah, kegiatan seks bebas, melawan ibubapa dan guru, mencuri dan seribu satu macam penyakit sosial lagi sedang menyerang anak-anak remaja kita yang baru berusia 13, 14 atau 15 tahun.

Bila kita lihat kepada usia, kita dapati mereka ini terlalu muda untuk didedahkan kepada perhubungan seks dan pengetahuan mengenainya. Tetapi apa yang berlaku sekarang ini, mereka sudah jauh lebih matang tentang perhubungan seks. Bukan setakat itu sahaja, bahkan mereka sudahpun berkali-kali atau seringkali melakukan hubungan seks dengan beberapa orang lelaki. Masalah kehamilan dari hubungan seks secara haram ini sudah tidak menjadi masalah bagi mereka. Kebanyakkan wanita-wanita remaja ini sentiasa membawa kondom atau pil pencegah hamil ke mana sahaja mereka pergi. Ia boleh diperolehi dengan bebas dan mudah di kedai-kedai. Bahkan menurut kajian, pasangan perempuanlah yang lebih banyak menyediakan alat cegah hamil bagi mengelak risiko kehamilan yang sudah tentu lebih banyak dibebankan kepada mereka berbanding dengan pasangan lelaki.

Selain dari beberapa faktor yang menjadi tulang belakang berlakunya keruntuhan moral sebegitu buruk sekali dalam masyarakat kita, ibubapa juga telah digembar-gemburkan sebagai faktor nombor wahid.

Pernah terjadi di salah sebuah negeri di Malaysia, satu serbuan telah dibuat oleh pihak yang berkuasa dalam usaha membenteras kegiatan maksiat yang berleluasa. Salah satu pasangan yang tertangkap adalah pasangan remaja yang masih lagi di bangku sekolah. Ketika pasangan perempuan dihantar pulang ke rumah ibubapanya, telah berlaku satu peristiwa yang memang tidak di duga. Di mana ibu perempuan tersebut telah memarahi pihak berkuasa yang menghantar anaknya itu. Ibunya berkata:

"Apa encik susah, kalau anak saya mengandungpun, saya akan dapat cucu!"

Percayakah pembaca sekelian, bahawa seorang ibu atau bapa yang hidup sentiasa membelakangkan agama mampu menarik 10 atau 20, bahkan 100 orang remaja lain yang baik tetapi tidak mempunyai ketahanan diri (iman) yang kukuh ke arah keruntuhan moral yang dikeji oleh syarak, samada keruntuhan itu dinilai sebagai sesuatu yang baik oleh masyarakat ataupun tidak. Di mana anak-anak dari pasangan ini sudah tentu tidak akan mendapat didikan yang sempurna menurut kacamata Islam. Mereka ini akan menjadi seperti parasit yang membawa wabak ke mana sahaja mereka pergi.... Siapa yang bersahabat dengannya sudah tentu akan menerima akibatnya. Paling kurangpun akan terkena percikan-percikan dari kekotoran rendah akhlaknya. Jika anak ini bersahabat dengan 10 orang, maka kesepuluh-sepuluhnya akan menerima percikan akhlak kejinya.. Begitulah seterusnya.


(0 comments at js-kit.com)

0 comments: