Wednesday, March 5, 2008

CINTA DAN PERKAHWINAN

Soalan :

Saya ditakdirkan terpikat dengan seorang jejaka muslim yang berilmu pengetahuan, dan kuat beragama dan ada padanya menurut pandangan saya semua perkara yang diidamkan oleh setiap gadis terhadap pemuda idamannya. Dia juga turut tertarik kepada saya sehinggakan kami berdua tidak terfikir untuk berkahwin dengan orang lain. Dia telah menapakkan di hati saya dan begitulah sebaliknya. Cinta dia menguasai diri saya. Saya amat mengharapkan dan bercita-cita agar dia menjadi teman hidup sepanjang usia saya.

Selepas penantian dan kesabaran dalam tempoh yang lama ini, sehingga dia menamatkan pengajian serta mendapat kedudukan dalam masyarakat dan kerajaan, datanglah saat yang sangat-sangat kami menantikan selama ini. Lalu saya berkata ; Setelah lama menunggu, dia datang kepada keluarga saya untuk meminang mengikut sunnatullah dan Rasulnya.

Pada waktu ini berlakulah kejutan, bahkan serangan hebat terhadap saya dan dia. Pinangannya ditolak oleh keluarga saya bukan kerana apa, tetapi hanya keluarganya lebih rendah kedudukannya daripada keluarga kami. Sedangkan saudara kandungnya sebelum ini pernah meminang seorang perempuan daripada keluarga yang lebih terhormat daripada keluarga kami tetapi tidak berlaku sebarang kekurangan di antara mereka dan tidak memperlihatkan sebarang penolakan.

Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan, saya tidak boleh hidup tanpa dia dan saya tidak berfikir untuk hidup pada masa akan datang dengan orang lain. Saya bersedia untuk melakukan apa sahaja kerana dia, walau nyawa sekalipun. Saya tidak kuat untuk berkorban demi itu. Sekiranya saya dipaksa berkahwin dengan orang lain, maka ini merupakan hukuman bunuh bagi saya. Kalaupun bukan kerana fizikal saya tetapi mangsanya adalah mental saya. Jadi, adakah agama kita yang suci menerima perbuatan sebegini?

Apakah ada penyelesaian bagi masalah kami dari sudut pandangan syarak yang mulia? Diharapkan mendapat penjelasan yang memberikan ketenangan kepada kami.

Jawapan :

Saya suka menegaskan perkara yang selalu saya ulangi, sesungguhnya saya tidak setuju dengan apa yang dikatakan oleh sebahagian orang pada hari ini tentang perlunya ‘bercinta sebelum kahwin’ kerana jalan ini penuh dengan bahaya dan dikelilingi oleh syak wasangka.

Kebiasaannya perkara yang dimulai dengan permulaan yang tidak baik dan tidak jujur seperti percintaan yang datang melalui jalan perbualan telefon secara semberono, yang menjadi hiburan pemuda pada masa lapang untuk menghilangkan jemu atau bermain-main sahaja. Kemudian perbuatan ini disambut baik oleh sebahagian wanita.

Hal ini biasanya berlaku tanpa pengetahuan keluarga, juga tanpa ada pilihan dan berfikir panjang sama ada daripada pemuda atau pemudi itu sendiri. Ia bermula seperti yang berlaku kepada perokok secara tiba-tiba dan berakhir dengan ketagihan, bermula dengan main-main dan berakhir dengan serius.

Selalunya perkara sedemikian membawa kepada akibat yang tidak baik kerana ia berlaku daripada pemerhatian, dalam keadaan pemuda yang nakal, penguasaan perasaan, nafsu, keinginan dan bisikan syaitan daripada kalangan jin dan manusia. Dalam situasi dan keadaan seperti ini, pemuda-pemudi tidak dapat lari daripada kesilapan kerana keduanya bukanlah malaikat atau nabi yang maksum dan terpelihara.

Lebih daripada itu, kadang-kadang percintaan di antara kedua pihak ini tidak sepadan jika dilihat dari sudut ilmu dan sosial, lalu wujudlah pemisah dan terbentanglah penghalang serta penentang yang menghalang terjalinnya perkahwinan antara mereka. Dalam keadaan ini berlakulah konflik jiwa dan berbagai masalah.

2. Saya berpandangan bahawa sebaik-baik jalan untuk menjalinkan hubungan perkahwinan ialah melalui kebiasaan yang telah dikenali oleh masyarakat Islam suatu ketika dahulu sebelum berlakunya serangan peradaban barat terhadap umat kita. Iaitu pemilihan pasangan secara tenang dan rasional daripada kedua belah pihak untuk menentukan pasangan hidupnya. Ini dilakukan selepas menyelidik dan mengkaji keperibadian kedua belah pihak, kesesuaian di antara keduanya, kemungkinan kejayaan perkahwinan dari sudut perangai, kejiwaan, pemikiran, ekonomi dan kemasyarakatan dan tidak wujud sebarang penghalang dan masalah melansungkan perkahwinan daripada kedua-dua belah pihak atau keluarga keduanya atau adat kebiasaan masyarakat dan undang-undangnya yang mesti di ambil kira dan sebagainya.

Pada waktu ini datanglah peminang melalui salurannya, menyatakan hasrat kepada keluarga perempuan, dan keduanya di beri peluang melihat sesamanya. Dan alangkah baiknya perkara ini dilakukan tanpa pengetahuan wanita itu untuk memelihara perasaannya, kerana mungkin apabila lelaki melihatnya dia tidak tertarik dan tidak meminatinya.

3. Walau bagaimanapun, saya berpendapat jika ‘ibarat pinang di belah dua’ seperti kata pepatah, ataupun bila sudah ‘jatuh cinta’ dan kedua pihak saling menyintai, dan ia termasuk dalam golongan cinta yang suci bersih seperti yang disebut oleh anak perempuan kita yang bertanya dan ia telah berlaku dalam tempoh mendatang tiba-tiba, ataupun ‘permainan ini dengan teliti dan bijak, jangan berkeras dengan pandangan mereka dan menolak peminang atas sebab yang remeh atau tanpa sebab sama sekali.

Sepatutnya mereka mendengar dengan baik perkara yang dijelaskan oleh hadis Nabi saw. yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas :


Maksudnya: “Tidak ada bandingan kasih sayang diantara dua orang yang bercinta sebagaimana kasih sayang di antara suami dan isteri.

Hadis riwayat Ibnu Majah

Maksud Rasulluah saw. ialah perkahwinan adalah jalan terbaik untuk mengubat ikatan perasaan yang telah sampai ke tahap ‘kasih’ atau ‘asyik’ di antara dua hati lelaki dan perempuan. Ini berbeza dengan amalan yang dilakukan oleh sebahagian kabilah Arab di padang pasir yang memastikan supaya terhalangnya orang yang bercinta daripada mengahwini orang yang dicintainya, terutama apabila cintanya itu diketauhi ataupun dia pernah mengungkapkan syair menggambarkan kecintaannya itu, meskipun cintanya adalah cinta yang bersih dan suci.

Sesungguhnya Islam adalah syariat yang praktikal, oleh itu ia melihat perlunya ikatan perasaan diikat dengan ikatan syariat dan undang-undang yang terbina di atasnya keluarga Islam, yang disuburi oleh cinta sebagaimana ia juga telah disuburi oleh agama.

Keluarga yang memaksakan pandangan dan memekakkan telinga daripada mendengar jeritan hati pemuda pemudi, serta mengutamakan pandangan masyarakat (yang bersifat riyak dan menunjuk-nunjuk) dan kebanggaan jahiliah dangan keturunan dan kekayaan, akhirnya akan mendatangkan kecelakaan kepada anak-anak (lelaki dan perempuan) atau menyebabkan mereka menentang adat-istiadat yang sudah ketinggalan zaman dan yang sudah menjadi ‘keturunan’ atau keutamaan pada hari ini diberikan pada ilmu, pekerjaan dan kejayaan.

Perkara yang diutamakan oleh Islam bagi lelaki atau pelamar iaitu agama dan akhlaknya yang keduanya merupakan unsur terpenting bagi keperibadian muslim. Dalam hal ini Rasulluah saw. yang mulia bersabda:


Maksudnya: “Apabila datang kepada kamu lelaki kamu redhai (sukai) akhlak dan agamanya, maka kahwinlah dia (terimalah pinangannya), sekiranya kamu menolak, akan berlakulah fitnah dan kerosakan yang merata di bumi”
Riwayat Tirmizi


(siri Fatwa Masa Kini jilid 7 & 8 Dr. Yusuf Al Qardawi)


(0 comments at js-kit.com)

0 comments: