Saturday, July 26, 2008

Hancur sudah Kasih Sayang

Islam sangat mengutamakan kasih sayang bahkan mewajibkan umatnya mewujudkan dan memperjuangkan kasih sayang dalam kehidupan mereka. Tapi malangnya umat Islam hari ini sudah tidak dapat lagi mewujudkan kasih sayang, sekalipun ulama ulamanya, kerana pengajian mereka sudah terpengaruh dengan pengajian sekular. Ulama ulama ini hakikatnya sama sahaja dengan golongan yang menggelar diri mereka pejuang hak asasi manusia yang kononnya jaguh dalam pembelaan hak hak kemanusiaan tetapi di kalangan mereka sendiri pun tidak wujud kasih sayang.Akibatnya nasib dan keadaan umat Islam sama sahaja dengan orang lain.

Oleh kerana kasih sayang tidak wujud lagi di dunia hari ini maka orang Islam satu sama lain hanya berkenalan. Mereka walaupun duduk dalam satu kawasan atau satu keluarga, satu sekolah, satu parti, satu jemaah. solat berjemaah, tapi rasa terasing antara satu sama lain. Kenal tapi tidak tahu menahu. Berjumpa tapi bagaikan tidak bertemu. ada tapi terasa bagaikan tiada. Tidak ada yang boleh di panggil kawan di zaman ini. Yang ada hanya kenalan. Tidak ada ikatan hati sesama Melayu, yang ada hanya pertemuan. Tidak ada kerelaan. Yang ada hanya rasa terpaksa. Bertemu pun secara terpaksa bila sangat perlu, walaupun hati tidak mahu. Bergaul juga kerana terpaksa, sebab tidak boleh hidup keseorangan. Tapi bila bergaul, hati penuh bimbang.Pemimpin terhadap pengikut terpaksa mengarah.Tapi bila mengarah dapat dirasakan, orang yang kena arah rasa tidak senang. Hati tidak senang menerima arahan tapi fizikal terpaksa menerimanya demi untuk mempertahankan kehidupan.

Siapa sahaja yang tidak dapat Kasih Sayang , hilang lah kebahagiaan dan keharmonian hidup. Maka di waktu itu harta yang banyak, kuasa yang besar, wajah yang cantik, kemewahan yang ada, tidak memberi erti apa apa lagi. Tetaplah manusia hidup kosong, sepi dan penuh kekecewaan.


(0 comments at js-kit.com)

TIPS CINTA SUAMI ISTERI

1. Cium tangan suami dan dahi isteri setiap kali sebelum berpisah ke tempat kerja masing-masing.

2. Jika berpisah lebih dari sehari seperti untuk tugasan luar daerah, tambah rutin harian tadi dengan pelukan dan ciuman di bibir.

3. Walau sesibuk mana sekali pun, luangkan masa untuk menelefon pasangan sekurang-kurangnya sekali walau sekadar untuk bertanya apa yang sedang dilakukan.

4. Sentiasa ucapkan kata-kata sayang seperti I love you sepenuh hati sebelum keluar kemana-mana, menamatkan perbualan di telefon dan sebelum tidur.

5. Sentiasa mencari peluang untuk makan tengah hari bersama kerana pastinya ia tiada gangguan anak-anak jika pada hari berkerja.

6. Amalkan bertanya apa yang berlaku sepanjang hari selepas pulang dari kerja sebagai tanda mengambil berat dan memberi peluang pasangan meluahkan perasaan.

7. Luangkan masa untuk berbual tentang apa sahaja dari isu rumah tangga hinggalah politik semasa sebelum tidur.

8. Mudah berbaik jika berlaku sebarang pertelingkahan, jangan biar berlarutan walau untuk satu jam sekali pun apatah lagi berhari-hari.

9. Temani pasangan semasa menonton rancangan kegemaran mereka walau sambil membaca akhbar misalnya kerana apa yang penting ada berada disisi.

10. Jangan sesekali berpisah tempat tidur walau anak sudah berderet atau usia sudah meningkat kerana ia adalah salah satu amalan penting untuk mengeratkan kasih sayang.

11. Amalkan sembahyang berjemaah semasa di rumah, berdoa bersama serta bersalam-salaman selepasnya.

12. Biasakan bergilir gelas atau pinggan semasa makan serta tidak segan atau geli untuk menghabiskan makanan atau minuman isteri atau suami.

13. Sesekali buatlah kejutan seperti membeli hadiah atau kad untuk peristiwa tertentu, memakai pakaian dalam yang seksi atau apa sahaja yang anda tahu pasangan pasti menyukainya.

14. Senda gurau dalam rumah tangga amat penting, ceritalah sesuatu yang kelakar, teka teki atau apa sahaja yang membolehkan anda ketawa bersama.

15. Sentiasa kenang pengorbanan masing-masing seperti susah payah isteri melahirkan anak dan suami yang berkerja keras menyara keluarga.

16. Sesekali tukar gaya penampilan agar ada kelainan serta untuk mengelakkan pasangan merasa jemu.

17. Apa sahaja masalah yang timbul, berterus terang dan berbincang bersama untuk menyelesaikannya.

18. Sentiasa menyimpan tekad untuk menjadi suami/isteri yang baik dalam rumah tangga bahagia kerana fikiran positif akan memudahkan anda mencapai matlamat tersebut.

19. Jika amalan-amalan di atas tidak pernah dilakukan sehingga anda membacanya hari ini, jadikanlah ia sebagai titik permulaan untuk melakukannya tanpa rasa ragu dan malu.


(0 comments at js-kit.com)

Tuesday, March 25, 2008

KESAN MELETAKKAN HARTA SEBAGAI SYARAT UTAMA

Pemilihan jodoh dengan meletakkan material sebagai nombor wahid dan agama sebagai angka yang terakhir akan mengakibatkan beberapa perkara yang tragis, iaitu:

1- Menyebarluaskan lagi penyembahan material di kalangan masyarakat Islam kerana material telah dianggap sebagai lambang kebahagiaan walaupun hanya palsu semata-mata. Manakala agama pula dianggap ketinggalan zaman. Bahkan lebih dahsyat dari itu, agama dianggap sebagai puaka yang amat menakutkan dan menyeramkan. Akal fikiran mereka sentiasa dihantui dengan anggapan bahawa apabila menjadi isteri kepada lelaki yang kuat agamanya, nescaya dirinya akan terkongkong dalam lingkungan yang amat sempit sekali. Tidak boleh berhias, bergaya, bekerja dan bergiat dalam segenap lapangan. Tugasnya hanya di dapur, melahirkan dan mendidik anak-anak. Sebenarnya ini hanyalah momokan yang mereka cipta sendiri.....

Dari pengaduan-pengaduan yang didengar dan melalui pengamatan terhadap masyarakat sekeliling, didapati bukan sedikit dari kalangan wanita-wanita Islam yang menganggap bahawa mendidik dan memelihara anak adalah satu bebanan. Mereka lebih rela bekerja seberat mana sekalipun dari menjaga dan mendidik anak-anak. Perasaan kasih sayang sepenuh hati dan sifat keibuan telah ditarik oleh Allah s.w.t. dari sebahagian wanita-wanita Islam. Lihat saja! Bagaimana kes membuang anak begitu berleluasa terjadi di negara kita ini.

2- Akan menjejaskan institusi kekeluargaan sesebuah masyarakat. Penceraian mula meningkat dari hari ke hari. Di samping itu terlalu banyak rumahtangga yang sedang menanti giliran untuk runtuh.

Akibat membelakangkan akhlak ketika memilih calon, maka si isteri atau si suami menanggung derita perpanjangan. Mutakhir ini, bukan hanya suami dari kalangan orang-orang awam bahkan tokoh masyarakat, ahli politik dan pak menteri telah terjebak dengan beberapa kegiatan yang kurang sihat. Judi, rasuah, perzinaan dan sebagainya. Mengadakan hubungan dengan pelacur sudah menjadi suatu yang lumrah bagi suami-suami yang tidak beragama. Yang berpendapatan rendah akan pergi kepada pelacur-pelacur kelas bawahan. Manakala yang bergaji lumayan dan punya kedudukan yang tinggi akan menyimpan sekurang-kurangnya seorang wanita.

Si isteri pula, lebih terdedah kepada perangkap lelaki-lelaki hidung belang. Samada di majlis-majlis sosial atau di tempat kerja. Isteri orang-orang awam yang terperangkap akan dipujuk rayu di mana kesudahannya berlakulah perzinaan yang dilaknat Allah s.w.t.

Manakala isteri orang-orang berada atau ternama akan menyimpan lelaki tersebut dengan diberi habuan berupa wang atau kemudahan yang bukan sedikit nilai ringgitnya.

Antara alasan-alasan yang sering diberikan oleh isteri-isteri ini ialah mereka sering ditinggalkan oleh suami kerana urusan perniagaan, mereka tidak mendapat kepuasan seks bersama suami atau sebagainya. Namun bagi saya semuanya itu adalah alasan yang terlalu rapuh dan tidak boleh dipakai samasekali. Pada hakikatnya, kerana mereka ini telah membelakangkan agama. Seandainya orang yang beragama mengalami masalah yang sama sudah pasti mereka tidak memilih jalan dosa dan noda ini.

Sebagai contoh ialah sebuah kisah, pernah terjadi peristiwa di mana si isteri tidak mendapat kepuasan seks dari suaminya. Ramai teman-teman yang menasihati si suami agar berusaha mengatasi masalah ini samada bertemu doktor, berurut secara tradisional atau sebagainya. Namun si suami berdegil tidak mahu menurut nasihat teman-temannya. Jiwa si isteri pula terus memberontak inginkan kepuasan seks.

Apabila dilihat tidak ada perubahan, si isteri mula memilih caranya sendiri untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapinya. Dia mula mencari lelaki lain agar dapat mengisi kekosongan jiwanya. Akhirnya beberapa orang lelaki telah menidurinya termasuklah seorang rakan karib suaminya sendiri.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga, begitulah dengan nasib si isteri di mana akhirnya perbuatannya itu diketahui oleh si suami. Malu bukan kepalang kerana rupanya perkara itu sudah lama menjadi buah mulut masyarakat keliling. Maka dia menceraikan isterinya. Mereka berpisah....

Apa yang dapat kita lihat pada masalah di atas, pengkhianatan terhadap suami dengan melakukan zina bersama lelaki lain adalah disebabkan oleh kurangnya agama isteri lelaki itu. Dia menyelesaikan masalah tidak mendapat kepuasan seks dengan cara yang benar-benar keji dan menjijikkan.

Sebaliknya, seandainya isteri lelaki itu merupakan seorang yang beriman dan kuat agamanya sudah tentu dia akan menyelesaikannya dengan jalan yang baik dan diredhai oleh Allah s.w.t. Berkemungkinan jika peringkat pertama, kedua dan ketiga tidak mampu mengatasi masalah ini, mereka akan bertemu kadhi untuk minta penyelesaian. Jika jalan buntu yang ditemui juga sudah tentu talak adalah cara yang terbaik.

Cuba kita perhatikan sekali lagi, natijah dari dua jalan penyelesaian yang berbeza terhadap masalah di atas adalah sama sahaja, iaitu berakhir dengan perceraian. Jika dia menyelesaikan masalah itu dengan cara mengadakan hubungan seks haram bersama lelaki lain, kemudian diketahui oleh suaminya maka dia akan diceraikan. Dan begitu juga jika dia menyelesaikannya dengan jalan yang ditunjukki oleh syariat, akhirnya dia diceraikan juga. Jika begitu mengapa memilih jalan yang kotor dan menjijikkan? Bukankah lebih baik jika dia menyelesaikannya dengan cara yang kedua? Kerana kehormatan diri dan keluarganya akan terpelihara.

3- Melahirkan keturunan yang rosak moral dan kurang agamanya. Kerana ibubapa yang baik akan mendidik anaknya ke arah kebaikan. Sebaliknya, ibubapa yang kurang agama akan mendidik anaknya ke arah yang tidak dikehendaki oleh Islam, walaupun menurut kacamatanya ia adalah kebaikan. Bahkan berkemungkinan anak tersebut akan dua kali ganda lebih buruk agamanya dari ibubapanya sendiri.

Sejak kebelakangan ini, gejala keruntuhan moral telah menjadi satu topik yang sangat hangat diperkatakan, dari golongan bawahan hinggalah ke peringkat ulamak dan tokoh politik. Semakin banyak mereka memperkatakan tentang keruntuhan moral seolah-olah ia semakin menjadi-jadi dan bertambah buruk. Tidak membawa perubahan langsung.

Penagihan dadah, kegiatan seks bebas, melawan ibubapa dan guru, mencuri dan seribu satu macam penyakit sosial lagi sedang menyerang anak-anak remaja kita yang baru berusia 13, 14 atau 15 tahun.

Bila kita lihat kepada usia, kita dapati mereka ini terlalu muda untuk didedahkan kepada perhubungan seks dan pengetahuan mengenainya. Tetapi apa yang berlaku sekarang ini, mereka sudah jauh lebih matang tentang perhubungan seks. Bukan setakat itu sahaja, bahkan mereka sudahpun berkali-kali atau seringkali melakukan hubungan seks dengan beberapa orang lelaki. Masalah kehamilan dari hubungan seks secara haram ini sudah tidak menjadi masalah bagi mereka. Kebanyakkan wanita-wanita remaja ini sentiasa membawa kondom atau pil pencegah hamil ke mana sahaja mereka pergi. Ia boleh diperolehi dengan bebas dan mudah di kedai-kedai. Bahkan menurut kajian, pasangan perempuanlah yang lebih banyak menyediakan alat cegah hamil bagi mengelak risiko kehamilan yang sudah tentu lebih banyak dibebankan kepada mereka berbanding dengan pasangan lelaki.

Selain dari beberapa faktor yang menjadi tulang belakang berlakunya keruntuhan moral sebegitu buruk sekali dalam masyarakat kita, ibubapa juga telah digembar-gemburkan sebagai faktor nombor wahid.

Pernah terjadi di salah sebuah negeri di Malaysia, satu serbuan telah dibuat oleh pihak yang berkuasa dalam usaha membenteras kegiatan maksiat yang berleluasa. Salah satu pasangan yang tertangkap adalah pasangan remaja yang masih lagi di bangku sekolah. Ketika pasangan perempuan dihantar pulang ke rumah ibubapanya, telah berlaku satu peristiwa yang memang tidak di duga. Di mana ibu perempuan tersebut telah memarahi pihak berkuasa yang menghantar anaknya itu. Ibunya berkata:

"Apa encik susah, kalau anak saya mengandungpun, saya akan dapat cucu!"

Percayakah pembaca sekelian, bahawa seorang ibu atau bapa yang hidup sentiasa membelakangkan agama mampu menarik 10 atau 20, bahkan 100 orang remaja lain yang baik tetapi tidak mempunyai ketahanan diri (iman) yang kukuh ke arah keruntuhan moral yang dikeji oleh syarak, samada keruntuhan itu dinilai sebagai sesuatu yang baik oleh masyarakat ataupun tidak. Di mana anak-anak dari pasangan ini sudah tentu tidak akan mendapat didikan yang sempurna menurut kacamata Islam. Mereka ini akan menjadi seperti parasit yang membawa wabak ke mana sahaja mereka pergi.... Siapa yang bersahabat dengannya sudah tentu akan menerima akibatnya. Paling kurangpun akan terkena percikan-percikan dari kekotoran rendah akhlaknya. Jika anak ini bersahabat dengan 10 orang, maka kesepuluh-sepuluhnya akan menerima percikan akhlak kejinya.. Begitulah seterusnya.


(0 comments at js-kit.com)

Sunday, March 23, 2008

Majlis kahwin wajar tepati syariat Islam, ikut kemampuan

SINONIM dengan musim cuti persekolahan, ramai yang mengambil kesempatan mengadakan walimah atau kenduri kahwin bagi menggambarkan kegembiraan dan kesyukuran apabila bercantum dua hati insan yang dinobatkan sebagai raja sehari dalam ikatan pernikahan.

Kemeriahan akan lebih terasa kerana sesuai dengan pengertian walimah itu sendiri yang bermaksud mengadakan suatu majlis makan yang turut mengundang sanak-saudara dan sahabat-handai sama ada dekat atau jauh untuk turut sama menyerikan majlis diadakan.

Anas bin Malik dalam hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW melaksanakan majlis kenduri kahwin dengan seekor kambing untuk isteri-isterinya dan juga untuk Zainab.

Jelas daripada mafhum hadis itu bahawa hukum mengadakan walimah atau kenduri perkahwinan adalah diharuskan oleh agama sebagai mengumumkan suatu ikatan pernikahan, tetapi hendaklah mengikut batas ditetapkan syariat Islam.

Berdasarkan pandangan Syed Sabaq dalam salah kitabnya, beliau menerangkan bahawa walimah dapat dilaksanakan ketika berlangsungnya akan nikah atau sesudahnya. Ia juga boleh dilangsungkan pada hari perkahwinan (mencampuri isterinya) atau sesudahnya.

Hadis diriwayatkan Bukhari menyatakan bahawa Rasulullah SAW mengundang sahabat Baginda untuk menghadiri majlis walimah sesudah Baginda mencampuri isterinya Zainab.

Pada kisah Abi Usaid juga didapati walimah yang dilakukan beliau iaitu Rasulullah SAW menghadirinya, Abu Usaid menghidangkan kurma yang disimpan pada malam harinya. Kurma itulah yang dihidangkan kepada tetamu lain yang datang.

Ini bermakna, walau jenis makanan apa sekalipun yang ingin dihidangkan pihak keluarga yang mengadakan walimah, itu terpulanglah kepada kemampuan mereka. Pun begitu, dalam mengadakan majlis kenduri kahwin ini, jangan mengadakannya dengan melampau batas syariat.

Antaranya menyerlah sikap ingin menunjuk-nunjuk dengan mengadakan kenduri besar-besaran, boros berbelanja hingga memberi kesan kepada keadaan kewangan kemudiannya, melakukan pembaziran dan berhutang semata-mata kerana menurut nafsu serta keinginan yang melampau.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya orang yang boros itulah saudara syaitan. Syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’)

Sudah menjadi budaya masyarakat, apabila golongan mewah dan kaya mengadakan kenduri kahwin, jarang sekali mendahulukan orang miskin dan kurang berada sebagai tetamu untuk meraikan majlis berkenaan.

Hal ini dijelaskan Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Sejelik-jelik makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya saja, orang fakir dan miskin tidak pula diundang untuk makan bersama.”

Dari aspek memenuhi tuntutan sebagai orang dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin pula, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika salah seorang antara kamu dijemput ke majlis perkahwinan, maka hendaklah ia mendatangi majlis itu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Walau apapun, jika diteliti hadis berkenaan, menghadiri jemputan ke majlis kenduri kahwin adalah dituntut Islam sebagai sunat muaakad. Dalam sebuah kitab tulisan Syed al-Bari menyatakan syarat undangan yang wajib dipenuhi antara lain hendaklah meliputi perkara berikut:

- Orang yang mengundang adalah mukallaf, merdeka serta sihat pemikirannya.

- Tidak dikhususkan kepada orang kaya saja.

- Orang yang mengundang beragama Islam.

- Tidak ada kemungkaran pada majlis itu.

- Orang yang diundang tidak mengalami keuzuran syarie.

Usahlah dicemari majlis perkahwinan dengan perkara yang bercanggah syariat Islam. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, pertuturan keji dan lucah, nyanyian dan tarian melalaikan, senda gurau melampau adalah contoh beberapa situasi sering berlaku pada majlis kenduri kahwin.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Perbezaan antara majlis perkahwinan yang halal dan haram ialah adanya nyanyian dan pukul rebana.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Oleh itu, perlu kita menepati kehendak syariat Islam apabila ingin memeriahkan majlis walimah atau kenduri kahwin dengan persembahan hiburan supaya tidak tercemar dengan unsur ditegah agama dan melanggar ketertiban budaya orang Melayu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Walimah pada hari pertama adalah suatu hal yang benar. Pada hari kedua adalah suatu perkenalan, sedangkan pada hari ketiga adalah pamer dan mencari kemasyhuran.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Sesuatu yang tersirat ingin disampaikan Baginda ialah sikap berpada-pada apabila mengadakan majlis kenduri kahwin supaya tidak dipandang serong oleh orang lain. Sentiasa bersederhana dalam melakukan apa juga kerana kesederhanaan itulah dituntut Islam.

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli


(0 comments at js-kit.com)

Wajib hadir majlis kenduri kahwin

SOALAN:

Dalam kehidupan bermasyarakat, kita selalu mendapat jemputan kenduri kahwin. Kadang-kadang dalam sehari, dua atau tiga jemputan diterima terutama pada musim cuti sekolah. Apakah hukum menghadiri kenduri kahwin?

JAWAPAN:

Dalam ajaran Islam, menghadiri majlis kenduri perkahwinan, jika dijemput, adalah satu kewajipan. Berdasarkan hadis Rasulullah, kalangan ulama menghuraikan dengan panjang lebar mengenai jenis kenduri dan hukum menghadirinya sama ada wajib, makruh, haram atau harus.

Pada umumnya, kenduri terbahagi kepada dua jenis, iaitu kenduri kahwin dan bukan kenduri kahwin seperti kenduri atau jamuan kesyukuran atau jamuan hari raya.

Menghadiri jemputan dan undangan kenduri kahwin adalah fardu ain, iaitu wajib ke atas setiap individu yang diundang. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim bermaksud:

"Apabila seorang daripada kamu diundang menghadiri kenduri kahwin, maka hendaklah dia menghadirinya."

Imam Muslim juga meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Seburuk-buruk makanan (hidangan) ialah hidangan walimah (kenduri) yang dijemput orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin tidak dijemput. Dan sesiapa tidak memenuhi jemputan (undangan), maka dia menderhakai Allah dan Rasul-Nya."

Berdasarkan hadis sahih itu, jelas menunjukkan bahawa menghadiri jemputan dan undangan kenduri perkahwinan hukumnya wajib.

Bagaimanapun, kalangan ulama berpendapat bahawa hukum wajib itu bergantung kepada syarat-syarat tertentu.

Pertama: Yang menjemput atau mengadakan kenduri perkahwinan itu orang Islam.

Kedua: Orang yang dijemput adalah menyeluruh tanpa mengira bulu atau kedudukan, yakni tidak membeza-bezakan yang kaya dan miskin.

Ketiga: Jemputan ke majlis perkahwinan itu dibuat secara khusus kepada setiap orang bukan secara umum, sama ada dengan cara menemuinya, melalui kad jemputan atau melantik wakil untuk menjemputnya. Sekiranya jemputan dibuat secara umum seperti berkata atau membuat iklan menjemput penduduk sesuatu tempat itu ke majlis itu, maka tidak wajib menghadiri jemputan berkenaan.

Keempat: Pada lahirnya segala perbelanjaan untuk mengadakan majlis itu daripada wang yang halal.

Kelima: Tidak terdapat di majlis itu orang yang menyakiti orang yang dijemput.

Keenam: Tidak ada di majlis itu sesuatu yang mungkar seperti arak atau majlis tari menari yang haram.

Ketujuh: Tidak ada jemputan yang lebih awal daripada itu.

Kelapan: Tiada sebarang keuzuran yang menghalangnya hadir.

Kesimpulannya, hukumnya wajib atas setiap orang yang mendapat jemputan ke majlis kenduri perkahwinan untuk menghadirinya jika tidak terdapat satu daripada perkara yang bercanggah dan bertentangan dengan syarat-syarat yang disebutkan.

Dengan menghadiri jemputan itu, kita dapat mengeratkan hubungan silaturrahim serta dapat menambah serta memupuk kemesraan, kerjasama, bantu membantu dan mengukuhkan perpaduan sesama kita.

Kalau dalam sehari ada dua tiga jemputan, seboleh-bolehnya hendaklah menghadiri jemputan itu. Kalau tidak, hendaklah hadir ke majlis jemputan yang lebih awal diterima.


(0 comments at js-kit.com)

Friday, March 21, 2008

Perawatan Payudara Selama Hamil

Saat seorang wanita hamil, terjadi perubahan-perubahan pada tubuhnya yang memang secara alamiah dipersiapkan untuk menyambut datangnya si buah hati. Perubahan-perubahan itu antara lain berat badan bertambah, perubahan pada kulit, perubahan pada payudara, dan lain-lain.

Perawatan payudara sangat penting dilakukan selama hamil sampai masa menyusui. Hal ini karena payudara merupakan satu-satunya penghasil air susu ibu (ASI) yang merupakan makanan pokok bayi yang baru lahir sehingga harus dilakukan sedini (seawal) mungkin.

Inilah kurnia Allah yang sangat besar kepada kaum wanita di mana ASI merupakan makanan paling sesuai bagi bayi, komposisinya paling lengkap, dan tidak dapat ditandingi susu formula buatan manusia.

Perawatan payudara selama hamil memiliki banyak manfaat, antara lain:

• Menjaga kebersihan payudara terutama kebersihan puting susu.
• Melenturkan dan menguatkan puting susu sehingga memudahkan bayi untuk menyusu.
• Merangsang kelenjar-kelenjar air susu sehingga produksi ASI banyak dan lancar.
• Dapat mendeteksi kelainan-kelainan payudara secara dini (peringkat awal) dan melakukan upaya untuk mengatasinya.
• Mempersiapkan mental (psikologi) ibu untuk menyusui.

Bila seorang ibu hamil tidak melakukan perawatan payudara dengan baik dan hanya melakukan perawatan menjelang melahirkan atau setelah melahirkan maka sering dijumpai kes-kes yang akan merugikan ibu dan bayi. Kes-kes yang sering terjadi antara lain:

• ASI tidak keluar. Inilah yang sering terjadi. Baru keluar setelah hari kedua atau lebih.
• Puting susu tidak menonjol sehingga bayi sulit menghisap.
• Produksi ASI sedikit sehingga tidak cukup dikonsumsi bayi.
• Infeksi pada payudara, payudara bengkak atau bernanah.
• Muncul benjolan di payudara, dan lain-lain.

Kasus-kasus tersebut insya Allah bisa dicegah dengan melakukan perawatan payudara seawal mungkin. Berikut ini perawatan payudara yang dapat dilakukan:

a. Umur kehamilan 3 bulan

Periksa puting susu untuk mengetahui apakah puting susu datar atau masuk ke dalam dengan cara memicit/mengurut dasar puting susu secara perlahan. Puting susu yang normal akan menonjol keluar.

Apabila puting susu tetap datar atau masuk kembali ke dalam payudara, maka sejak hamil 3 bulan harus dilakukan perbaikan agar bisa menonjol.

Caranya adalah dengan menggunakan kedua jari telunjuk atau ibu jari, daerah di sekitar puting susu diurut ke arah berlawanan menuju ke dasar payudara sampai semua daerah payudara. Dilakukan sehari dua kali selama 6 minit.

b. Umur kehamilan 6-9 bulan

• Kedua telapak tangan dibasahi dengan minyak kelapa.
• Puting susu sampai areola mamae (daerah sekitar puting dengan warna lebih gelap) dikompres dengan minyak kelapa selama 2-3 menit. Tujuannya untuk memperlunak kotoran atau kerak yang menempel pada puting susu sehingga mudah dibersihkan. Jangan membersihkan dengan alkohol atau yang lainnya yang bersifat iritasi kerana dapat menyebabkan puting susu lecet.
• Kedua puting susu dipegang lalu ditarik, diputar ke arah dalam dan ke arah luar (searah dan berlawanan jarum jam).
• Pangkal payudara dipegang dengan kedua tangan, lalu diurut ke arah puting susu sebanyak 30 kali sehari.
• Picit kedua areola mamae hingga keluar 1-2 tetas.
• Kedua puting susu dan sekitarnya dibersihkan dengan tuala kering dan bersih.
• Pakailah coli yang tidak ketat dan bersifat menopang payudara, jangan memakai coli yang ketat dan menekan payudara.

Itulah tips-tips perawatan payudara. Lakukan secara teratur dan sedini mungkin.

Penulis: dr. Saeful Anwar


(0 comments at js-kit.com)

Thursday, March 20, 2008

Tips Rumahtangga Bahagia

Assalammualaikum....

Bagi anda yang bercita-cita untuk membina rumahtangga bahagia dan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t renungkanlah tips berikut : -

1) Anda perlu meletakkan tujuan perkahwinan untuk mencari keredhaan Allah. Naluri untuk berteman dan keinginan kepada anak-anak adalah kehendak semulajadi yang telah diletakkan oleh Allah dalam diri setiap manusia yang normal.

Surah Al-Furqan ayat 74 :-

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikan kami imam bagi orang yang bertaqwa."

2) Anda perlu menyedari bahawa perkahwinan anda dengan orang yang dikasihi itu adalah suatu ketetapan dari Allah. Tanpa restu dan izin yang Maha Berkuasa perkahwinan anda tidak mungkin akan terjadi walau bagaimana besar usaha dan penat lelah yang telah anda lakukan kearahnya. Anda juga perlu menerima hakikat bahawa usia perkahwinan anda terletak di tanganNya, dan Allah berhak mengambilnya pada bila-bila masa yang dikehendakiNya. Sebagai seorang yang beriman dengan qoda' dan qadar Allah anda hendaklah sentiasa berdoa agar jodoh anda dengan pasangan berpanjangan sehingga ke akhir hayat.

Allah berfirman dalam surah Al-An'am ayat 17 :-

"Jika Allah menimpakan satu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka dia maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

3) Perkahwinan membuahkan hak-hak dan tanggungjawab tertentu yang perlu ditunaikan baik oleh suami atau pun isteri. Diantara tanggungjawab suami ialah melunaskan mas kahwin, memberi nafkah zahir dan bathin, mendidik isteri dan anak- anak serta berlaku baik terhadap mereka. Manakala tanggungjawab isteri pula ialah mentaati suami dalam perkara yang tidak berlawanan dengan syara', memelihara diri dari perkara yang mungkar, menjaga harta suami dan menguruskan rumahtangga.

Segala hak dan tanggungjawab ini telah termaktub didalam Al-Qur'an dan sangat bersesuaian dengan tabiat dan fitrah semulajadi manusia. Anda seharusnya melaksanakan segala tanggungjawab ini bukan sekadar untuk menyukakan hati pasangan anda sahaja, sebaliknya kerana mencari keredhaan Allah s.w.t.

4) Sebagai seorang mukmin , sama ada lelaki dan perempuan mestilah meletakkan Allah dan Rasul lebih tinggi daripada segalanya. Firman Allah yang bermaksud :-

"Katakanlah, jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara,isteri-isteri, kaum keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik." [Surah At Taubah, 24]

Oleh itu anda mestilah memahami kedudukan anda di sisi pasangan. Anda bukanlah pihak yang pertama di hatinya. Bagi suami, selepas ketaatan kepada Allah dan RasulNya, ibubapa jatuh tempat kedua kemudian barulah isteri dan keluarga. Sementara bagi isteri, suami adalah tempat kedua selepas Allah dan RasulNya. Kemudian itu barulah ibubapa. Setelah memahami kedudukan yang ditetapkan oleh Allah, anda seharusnya tolong menolong di antara suami isteri dalam meletakkan hak dan kedudukan ini supaya kena pada tempatnya.

5) Anda haruslah ingat bahawa pasangan anda adalah manusia biasa yang tidak terkecuali daripada kelemahan dan kesilapan. Anda juga demikian. Oleh itu sekiranya pasangan anda melakukan kesilapan, janganlah terlalu diperhitungkan. Sentiasalah mengamalkan sikap bertolak ansur dan saling maaf memaafi antara suami dan isteri.

6) Dalam surah Al-Baqarah ayat 187, Allah menggambarkan hubungan suami isteri sebagai pakaian bagi satu sama lain. Bayangkan bagaimana pentingnya pakaian bagi manusia untuk menghindarkan diri daripada hujan dan panas,begitulah pentingnya anda kepada pasangan anda. Sebagai pakaian anda diperlukan setiap masa oleh pasangan anda untuk menutupi keaibannya dan melindunginya daripada perkara-perkara yang tidak menyenangkan. Oleh itu anda perlulah menjadikan diri anda sebagai pakaian yang terbaik untuknya dan menjauhkan diri daripada menjadi pakaian yang buruk, lusuh dan tidak berguna.

7) Sebagai seorang Islam, telah wujud ikatan persaudaraan Islamiah antara anda dan pasangan sebelum perkahwinan. Ijabkabul bukan sahaja menjadikan anda suami atau isteri malah mengerat dan mengemaskan lagi ikatan persaudaraan ini. Oleh itu kasih sayang tidak hanya berfungsi untuk mengikat suami dan isteri tetapi juga sebagai saudara seiman dan seagama.

8) Anda perlulah beradab dipertemuan pertama dengan pasangan anda. Suami hendaklah memberi salam kepada isteri apabila memasuki bilik pengantin dan meletakkan tangannya di atas ubun-ubun isteri sambil berdoa dengan maksud:-

"Wahai Tuhanku aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya. Dan aku berlindung dengan Mu dari kejahatannya dan kejahatan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya."

Selepas itu pasangan hendaklah bersembahyang sunat dan berdoa kepada Allah agar diberiNya kebaikan dan dijauhiNya kejahatan. Dan jika hendak bersama dengan pasangan bacalah doa dengan maksud:-

"Wahai Tuhanku, jauhkan kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada anak-anak yang engkau anugerahkan kepada kami."

Pertelingkahan antara suami isteri adalah sesuatu yang biasa terjadi sebagaimana lazim disebutkan 'sedangkan lidah lagi tergigit'. Maka apabila berlaku pergeseran janganlah diperbesarkan. Kalau suami marah seeloknya isteri diam dan kalau isteri marah, giliran suami pula diam. Adalah tidak perlu pasangan yang dimarahi cuba membela diri kerana lazimnya ia tidak membuahkan hasil yang baik. Walau bagaimanapun sesiapa yang marah ini perlulah ingat dan bertanya kenapa aku marah. Adakah pasangan aku telah melakukan mungkar yang bertentangan dengan syariat Allah. Jika tidak, nasihat yang baik adalah lebih berkesan. Hidup saling memaafkan dan saling mengerti antara satu sama lain akan menambahserikan rumah tangga.

Janganlah takut menghadapi dugaan dan ujian kerana rumahtangga yang diuji akan membuatkannya lebih kukuh dan matang jika pasangan bijak mengendalikannya. Sentiasalah berdoa kepada Allah agar mempermudahkan usaha kita dalam melayari kehidupan berumahtangga.


(0 comments at js-kit.com)